IPOH - Seramai 3,500 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan bertugas sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini bagi melancarkan Op Bantu di 52 lokasi terpilih seluruh negara.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail berkata, semua anggota berkenaan sedia digerakkan bagi membantu orang awam sekiranya berhadapan situasi kecemasan ketika berada di jalan raya.
"Op Bantu yang kita rancang dan selia sendiri ini lebih tertumpu di jalan negeri dan persekutuan sepanjang perjalanan balik ke kampung dan pulang semula ke bandar.
"Bermakna dua hari sebelum raya dan dua hari selepas cuti raya memang anggota kita 'on the road' untuk berikan apa juga bantuan diperlukan termasuklah melibatkan tayar pancit, bateri kenderaan lemah, kehabisan minyak dan lain-lain.
"Kesulitan seperti itu nampak kecil, namun keberadaan anggota kita sebenarnya membantu menyenangkan mereka yang berdepan kesulitan," katanya kepada pemberita sempena penyerahan bubur lambuk dan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Orang-orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita) di Lahat hari ini.
Beliau berkata, APM akan menempatkan lebih ramai anggota dan keperluan logistik di jalan-jalan negeri di Pantai Timur memandangkan statistik kemalangan yang tinggi di kawasan itu.
"Kekerapan nahas ini mungkin disebabkan keadaan jalan serta jumlah kenderaan banyak hingga bersesak.
"Jadi kita akan lebihkan penempatan anggota di kawasan-kawasan itu begitu juga keperluan logistik seperti ambulans, trak dan peralatan agar dapat menangani kes-kes yang mungkin berlaku," katanya.
Mengulas lanjut, Norhafifi Op Bantu memang dilaksanakan setiap kali musim perayaan besar termasuklah Aidilfitri dan sepanjang tempoh itu, pihaknya nampak keberkesanan dalam membantu menyelesaikan hal-hal kecemasan di jalan raya.
"Dalam Op Selamat kita 'standby' dan bertindak ikut keperluan seperti diminta polis, berbeza dalam Op Bantu, kita sendiri yang mengatur gerak langkah dan anggota-anggota kita akan sentiasa membawa peralatan serta menggunakan kemahiran mereka membantu orang awam," katanya.
Dalam majlis itu, APM menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan antaranya beras, minyak masak, serbuk cucian dan lampin dewasa.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Gaja, V Sivakumar.