PENYANYI, Hael Husaini, 31, memberitahu rutin bulan puasa ini dia melonggarkan sedikit masa kerjanya untuk beramal.
Justeru sempena bulan mulia ini, penyanyi Haram dan Hajat itu mengambil peluang meluangkan masa untuk beramal kepada mereka yang lebih memerlukan bantuan.
"Untuk Ramadan kerja macam biasa, cuma lebih ringan kerana saya ambil masa berehat sedikit untuk saya memberi balik kepada masyarakat.
"Buat amal kebajikan kepada mereka yang lebih memerlukan. Jadi saya berehat supaya dapat melebihkan amalan baik-baik di bulan puasa ini.
"Tahun lepas pun sama juga," ujarnya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Hael yang ditemui pada malam tayangan khas filem Aladdin yang bakal menemui penonton tidak lama lagi berkata, tahap kesihatannya kini sedang beransur sembuh.
"Alhamdulillah kesihatan saya beransur sembuh," katanya ringkas.
Sebelum ini, difahamkan berat badan Hael naik disebabkan pengambilan ubat akibat masalah pita suara yang dialaminya sejak April lalu.
Mengenai filem Aladdin itu, Hael merupakan artis yang menyanyikan lagu tema untuk alih bahasa Melayu, berjudul Dunia Baharu (A Whole New World).
"Pertama kali nyanyi untuk alih bahasa. Pengalaman tentunya menyeronokkan.
"Proses pun tak lama, cuma masa tu saya tengah sakit tekak. Tetapi alhamdulillah projek berjalan lancar dan pihak Disney pun approve.
"Harapan saya kalau boleh semua rakyat Malaysia tontonlah Aladdin bukan sebab saya tetapi menggamit kenangan lama yang telah diolah menjadi visual lebih real," ujarnya proses rakaman dijalankan pada bulan April lalu.