PUTRAJAYA - Kabinet bersetuju supaya sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh Keng Joo dan aktivis sosial Amri Che Mat, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pasukan itu yang bakal dianggotai antara enam ke tujuh individu, juga seterusnya akan mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.
Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mengenal pasti individu-individu yang sesuai untuk menganggotai pasukan tersebut dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Ini kerana, laporan itu antara lain mengatakan polis terlibat dan sebagainya dan pihak yang boleh membuat siasatan, yang ada kuasa polis juga.
"Jadi kita ingin memastikan bahawa pihak-pihak yang dirasakan sesuai akan dinamakan dan akan diberi satu tempoh berpatutan mungkin tiga bulan sebagai contoh untuk mengemukakan keputusan hasil daripada siasatan terhadap laporan Suhakam itu," katanya kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai Murni di Bulan Ramadan, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, pihak polis akan turut terlibat dalam pasukan itu, namun kementerian akan mencari mereka yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes tersebut."Tuduhan itu ada membabitkan Cawangan Khas dan lain-lain lagi, jadi kita tak boleh meletakkan orang-orang yang ada berkepentingan sebab itu kita mengambil masa menamakan siapa yang agak sesuai.
"Ada nama-nama yang kita telah kenal pasti tetapi kita nak berhubung dengan mereka supaya mereka setuju, selepas itu barulah kita beri terma rujukan dan lain-lain lagi, serta tempoh berapa lama pasukan ini akan menjalankan tugas," katanya.
Berdasarkan hasil inkuiri awam yang bermula Oktober 2017, Suhakam membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa Koh dan Amri.
Koh, 64, diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya, dekat sini, pada 13 Februari 2017 sementara Amri, 44, pengasas bersama Persatuan Kebajikan Harapan Perlis, hilang sejak 24 Nov 2016.
Mengulas mengenai kenyataan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin, bahawa menteri, menteri besar dan exco yang kurang menyerlah wajar meletak jawatan secara sukarela, Muhyiddin berkata terserah kepada individu yang dimaksudkan untuk berbuat demikian jika merasakan mereka tidak lagi sesuai berada dalam Kabinet."Saya tidak tahu siapa yang dimaksudkan, tetapi kalau saya, saya berhentilah. Kalau orang lain itu terserah kepada mereka," kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sambil menambah kenyataan Kadir itu hanyalah pandangan peribadi seorang pengamal media walaupun beliau merupakan anggota Majlis Tertinggi Bersatu.
"Ini adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri jika beliau ingin mengambil sebarang langkah," kata Muhyiddin.
Semalam, Kadir melalui blognya berkata selepas setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesemua yang dilantik dan memikul tanggungjawab sudah sewajarnya menilai semula kedudukan mereka memandangkan tempoh itu adalah cukup lama untuk mempelajari cara melaksanakan tugas bagi memenuhi aspirasi rakyat. - Bernama