Sultan Ibrahim berkenan menambah dana dermasiswa

Iklan
- Foto Royal Press Office.
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menambah dana Dermasiswa Sultan Ibrahim Johor buat kali kedua bagi membantu pelajar Malaysia yang kini sedang menuntut di luar negara.

Keputusan Baginda itu dibuat susulan perbincangannya bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang prihatin mengenai cabaran dihadapi pelajar-pelajar tempatan di luar negara.

Menerusi satu posting yang dimuatnaik dalam laman Facebook The Royal Johor sebentar tadi, dimaklumkan Raja Zarith sebelum ini telah menghadiri satu majlis santapan ringan di London yang mana telah disertai pelajar-pelajar di sana.

Melalui pertemuan itu, para pelajar berkenaan telah menyuarakan mengenai beban kewangan yang dihadapi mereka.

Raja Zarith Sofiah bertitah, rintihan dan permasalahan dihadapi pelajar berkenaan terus disampaikan dengan segera kepada Sultan Ibrahim sebelum Baginda kemudiannya bersetuju menyumbang lebih banyak dana bagi membantu pelajar-pelajar.

"Tuanku Sultan Ibrahim bersetuju untuk menyumbang dana peribadi, yang mana akan diagihkan menerusi Bantuan Insiatif Dana Pendidikan Zarith Sofiah (ZSIEFA) yang dimulakan pada tahun 2016.

"Butiran lanjut mengenai perkara ini akan saya umumkan kemudian selepas mengadakan pertemuan serta perbincangan lanjut bersama Lembaga Pengarah Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, dalam tempoh terdekat,” titahnya kepada Royal Press Office.