Mahalnya tiket ke Sabah!

Iklan
Gambar hiasan sumber Internet

TAWAU - Isu harga tiket penerbangan ke Sabah yang mahal, khususnya daripada Kuala Lumpur ke Tawau, akan disuarakan kepada menteri yang bertanggungjawab, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Silam itu berkata perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya, namun akan membawanya ke pengetahuan jemaah menteri, selain Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, untuk tindakan lanjut, lapor Front Desk.

Iklan
Iklan

"Perkara ini saya kira selesai sebelum ini, apabila beberapa bulan lalu, menteri (Anthony) sudah memberitahu bahawa harga tiket penerbangan tidak akan naik, malahan kapasiti penerbangan akan ditambah.

"Jadi saya harap (kepada) Kementerian Pengangkutan, harga (tiket penerbangan) tidak akan naik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis iftar dan pemberian sumbangan kepada 150 asnaf di sini, semalam.

Iklan

Baru-baru ini, harga tiket penerbangan domestik dan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau yang mahal sehingga mencecah ribuan ringgit, menjadi bualan hangat di media sosial.

Rata-rata penduduk Sabah melahirkan rasa tidak puas hati, terhadap harga penerbangan yang ditawarkan hampir setiap hari itu kepada pengguna, dan mengibaratkan harga berkenaan seperti perjalanan mahu ke luar negara.

Iklan

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Mohamaddin berkata sebanyak RM300,000 peruntukan daripada Parlimen Silam akan disalurkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri Kunak, bagi pelaksanaan projek-projek kecil.

Katanya, projek-projek kecil itu termasuk membaik pulih jalan, serta jambatan kampung.

"RM300,000 akan disalurkan, terpulang kepada wakil rakyat Kunak serta pemimpin masyarakat untuk menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin, dengan melaksanakan projek-projek kecil yang memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata dia akan sentiasa mencari masa, ruang dan peluang untuk menyantuni penduduk di seluruh kawasan Parlimen Silam, dan Sabah amnya.