SHAH ALAM - Pengamalan sihir di Malaysia diibaratkan seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ terutamanya di negeri yang berdekatan dengan sempadan Thailand dan Indonesia memandangkan ilmu sihir di negara berkenaan adalah first class.
Pakar perubatan Islam, Datuk Ustaz Sharhan Shafie berkata, pengamalan sihir di negara-negara berkenaan boleh dikatakan dalam kategori hebat memandangkan ramai pesakit yang mendapatkan khidmat perawatan Islam daripada mengalami keadaan yang teruk seperti muntah darah dengan keluarnya barangan tajam seperti paku dan kaca.
Justeru, beliau berpesan kepada masyarakat di negara ini yang menghadapi situasi seperti di atas supaya tidak mudah mencari bomoh atau perubatan alternatif secara membuta tuli.
"Saya berpesan kepada mereka yang sakit jangan terburu-buru mencari bomoh kerana takut tersalah pilih.
"Pesakit mengharapkan mereka memilih permata sedangkan ia kaca yang membunuh dan jangan terlalu ghairah apabila mendapat maklumat mengenai bomoh itu hebat bomoh ini hebat,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan tazkirah bertajuk Aku Sakit ALLAH SWT Penyembuh dalam program Ihya’ Ramadan di sini semalam.
Beliau berkata, selidik terlebih dahulu latar belakang perubatan alternatif itu kerana jika tersilap buruk akibatnya.
"Selidik tentang bagaimana perawat berkenaan mendapat ilmu untuk merawat. Adakah melalui mimpi dan jika ia benar itu adalah bahaya.
"Jika sebaliknya kita perlu tengok kepada pengajiannya adakah perawat itu menuntut ilmu perubatan alternatif di India atau Mesir selama bertahun-tahun, jika ya ia boleh terima,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, sebagai manusia kita perlu berada di pihak yang sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan kerana mata manusia tidak boleh melihat jin dan sebaliknya.
"Ayat yang paling hebat untuk mengatasi ilmu sihir ini adalah daripada surah Hud ayat 57 dan kepada mereka yang terkena ilmu sihir boleh mengamalkan ayat ini.
"Takutlah kamu akan doa mereka yang terkena sihir dan yang dizalimi ini diterima tanpa hijab. Semoga mereka yang terkena sihir bersabarlah dan didoakan ada kesembuhan buat mereka,” katanya.
Beliau turut menasihatkan masyarakat di luar sana supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik gambar menerusi alam maya seperti di Facebook kerana ramai yang menggunakan ilmu sihir dengan kaedah moden.