Johor rancang tubuh jawatankuasa kemasukan pendatang asing

Iklan
Aminolhuda (kanan) sewaktu menziarahi asnaf di DUN Parit Yaani di Masjid Felcra Sri Wangi, di sini, malam tadi.

BATU PAHAT - Kerajaan Johor merancang untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengawal lambakan pekerja asing di negeri ini terutamanya mereka yang masuk secara haram dan tidak mempunyai permit pekerjaan.

Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, ini kerana jumlah pekerja asing di negeri ini juga semakin bertambah setiap tahun dan dikhuatiri akan menutup peluang rakyat tempatan untuk bekerja di dalam sektor tertentu.

Iklan
Iklan

"Jadi, disebabkan perkara ini kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas kerana setakat ini tidak ada satu agensi yang dapat mengawal kemasukan mereka terutamanya yang masuk secara haram dan tidak berdaftar sebagai pekerja.

"Kita dapati ada empat jenis warganegara asing yang datang untuk bekerja di negeri ini iaitu mereka yang masuk secara sah, menggunakan pas pelajar, menggunakan pas pelancong dan yang terakhir adalah pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Iklan

Beliau yang juga ADUN Parit Yaani berkata kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Ziarah Kasih Ramadan dan Iftar Bersama Ketua Kampung DUN Parit Yaani di Masjid Felcra Sri Wangi, di sini, malam tadi.

Menurutnya, selain itu, faktor utama kemasukan warga asing di negeri ini disebabkan peluang pekerjaan yang banyak di pelbagai sektor termasuk sektor pekerjaan yang sukar, kotor dan berbahaya (3D) berbanding dengan negara asal mereka.

Iklan

"Banyak jalan masuk terutamanya jalan laut yang lebih terbuka berbanding jalan darat dan udara turut menjadi faktor kedatangan pekerja asing terutamanya yang masuk secara haram kerana sempadan antarabangsa negeri ini sebenarnya lebih banyak di kawasan perairan.

"Selain itu, saya juga bercadang untuk menjalankan saringan kesihatan kepada pekerja asing yang mahu bekerja di negara ini, sebagaimana yang dilakukan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau akan cuba menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor agar warganegara asing yang berisiko dan mempunyai penyakit tertentu dan membahayakan penduduk tempatan tidak dibenarkan masuk dan bekerja di negeri ini.