JIKA ditanya siapa yang mahu kehidupan yang berkat, pasti tiada siapa yang akan jawab tidak.
Benar, semua orang mengharapkan keberkatan dalam hidup mereka.
Apakah cukup berkat itu hanya dengan melaksanakan apa yang disuruh ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-Nya sahaja?
Keberkatan hidup sebenarnya bermula pada awal pagi lagi.
Malah, Rasulullah SAW sendiri akan memanjatkan doa untuk umatnya setiap pagi:"Ya ALLAH, berikanlah berkah kepada umatku di pagi hari mereka." (Riwayat al-Tirmizi)
Dalam sebuah hadis yang lain, baginda SAW bersabda:"Syaitan akan mengikat tengkuk salah seorang daripada kalian saat tidur dengan tiga ikatan, dia akan membisikkan kepadamu bahawa malam masih panjang, jika dia terbangun lalu berzikir kepada ALLAH, terlepaslah satu ikatan, jika dia berwuduk, maka lepaslah dua ikatan dan jika dia melanjutkan dengan solat, maka lepaslah seluruh ikatan itu sehingga pada pagi harinya dia mulai dengan penuh semangat dan jiwanya pun sihat, namun jika tidak, maka dia akan memasuki waktu pagi dengan jiwa yang keji dan penuh kemalasan." (Riwayat Bukhari)
Kepada mereka yang mencari berkat itu, apa kata kita amalkan petua ini:
1. Amalan berzikir Ia sebenarnya akan memberikan semangat dan banyak urusan akan dipermudahkan ALLAH. Ia boleh dibaca sebaik sahaja masuk waktu Subuh.
2. Menghafal al-Quran Orang yang menghafal al-Quran lazimnya akan menggunakan waktu pagi kerana otak mudah menerimanya. Jika dilakukan dengan penuh penghayatan, insya-ALLAH kita akan mendapat kebaikan sepanjang hari.
3. Melakukan aktiviti Jika kita melakukan sesuatu tugas, buatlah dengan bersungguh-sunguh.
4. Segarkan tubuh dengan mandi pagi Mandi pagi sebaik sahaja bangun daripada tidur akan membawa kesegaran kepada tubuh. Sebaik-baik mandi pagi adalah sebelum waktu Subuh.
5. Solat dhuha Walaupun hukumnya hanya sunat muakkad atau sunat yang dituntut tetapi ia seringkali dilakukan oleh Rasulullah SAW. Marilah kita contohi baginda.
Mudah-mudahan segala amalan yang dilakukan, kita akan peroleh keberkatan sepanjang hidup.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)