Kereta lama jadi sasaran penjenayah

Iklan
Mohd. Zaid (kanan) menunjukkan kereta yang dipercayai dicuri suspek.

AMPANG - Polis menumpaskan sindiket curi kenderaan, Geng Pamben yang mensasarkan kenderaan lama buatan Malaysia dan yang diparkir di luar pagar rumah di sekitar Ampang pada 17 Mei lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd. Zaid Hassan berkata, tangkapan dilakukan ke atas tiga lelaki dalam dua serbuan berasingan di Salak Selatan dan Ampang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tangkapan itu termasuk dalang sindiket berusia 39 tahun mempunyai 24 rekod jenayah lampau dan pernah dua kali menjalani hukuman penjara sejak 2016 atas kesalahan sama, mencuri kenderaan.

"Dua lagi suspek berusia 36 dan 40 tahun masing-masing mempunyai 19 dan 16 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, curi kenderaan dan samun.

Iklan

"Hasil ujian air kencing, dua suspek positif syabu.

Dua daripada tiga lori yang dipercayai dicuri suspek turut ditemui susulan tangkapan ke atas mereka 17 Mei lalu.

"Susulan tangkapan suspek, polis turut menemui empat kereta dan tiga lori yang dilaporkan hilang di Ampang Jaya, Pandan Indah, Cheras dan Salak Selatan sejak Mac lalu," katanya.

Iklan

Mohd. Zaid berkata, modus operandi sindiket mensasarkan kenderaan lama diparkir di luar pagar rumah termasuk di kawasan tempat letak kereta pangsapuri, kondominium yang tidak ada pengawal keselamatan.

"Ini kerana sistem penggera kenderaan sudah tidak berfungsi memudahkan suspek mencuri dan suspek bertindak pada waktu malam.

"Suspek kemudian meleraikan komponen kenderaan dan menjualnya di kedai alat ganti untuk perbelanjaan harian termasuk untuk membeli dadah," katanya.

Mohd. Zaid memberitahu, suspek direman sehingga hari ini dan akan diserahkan kepada Balai Polis Cheras untuk siasatan lanjut berkaitan kes sama di Cheras.

"Kes disiasat di bawah Sekayen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," katanya lagi.