Beri alasan beli nasi bungkus untuk anak, isteri

Iklan
Anggota penguat kuasa mengeluarkan notis tidak menghormati Ramadan kepada seorang warga emas (kiri).

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga emas memberi alasan membeli nasi bungkus untuk anak dan isterinya ketika ditahan sedang membawa makanan dalam plastik hitam, di Jalan Banggol di sini semalam.

Lelaki berusia 64 tahun itu yang ditahan kira-kira jam 12 tengahari turut memberi alasan menghidap penyakit uluran selepas disoal siasat anggota Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) di lokasi.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasaan JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, disebabkan penjelasan diberi mencurigakan, dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu diminta membawa anggota penguat kuasa ke rumahnya bagi membuktikan makanan itu memang untuk isteri dan anaknya.

"Bagaimanapun sebaik tiba di sebuah kampung berhampiran, warga emas itu cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap beberapa minit kemudian selepas berlaku adegan kejar.

Iklan

"Setelah disoal siasat selanjutnya, akhirnya dia membuat pengakuan yang sudah menipu anggota sebelum ini kerana tiga bungkus nasi dibeli adalah untuk dirinya bersama dua lagi rakan yang tidak berpuasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Zuhaiza berkata, selain mengaku menipu, dia turut membuat pengakuan sudah lebih lima hari tidak berpuasa bersama rakan-rakan kerana masalah kesihatan, kononnya menghidap penyakit uluran.

Iklan

"Dia diberikan notis tidak menghormati Ramadan Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

"Bagaimanapun, dia dilepaskan bersama notis saman dikeluarkan ke atasnya dan dikehendaki datang ke pejabat agama untuk siasatan lanjut," katanya.

Jelas Nik Zuhaiza, sempena Ops Plastik Hitam ini, pihaknya turut membuat pemeriksaan dan serbuan di beberapa buah kedai makan di sekitar bandar raya ini yang dikenal pasti menjual makanan kepada individu tidak berpuasa.

"Kita turut membuat serbuan di lokasi-lokasi yang dikesan menjadi tumpuan orang tidak berpuasa menjamu selera.

"Operasi kali ini hanya melibatkan satu tangkapan sahaja, bagaimanapun JHEAT akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan bagi mengesan golongan tidak berpuasa dan tidak menghormati Ramadan," katanya.