Polis, FRU tingkat kawalan di kawasan kuil

Iklan
Polis meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar Kuil Sri Mariamman USJ 25, Seafield. -Foto Sinar Harian
SUBANG JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan keselamatan dengan meletakkan anggota berkawal di sekitar Kuil Sri Mariamman USJ 25, Seafield.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, pihak polis turut menempatkan anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di lokasi berkenaan.

Sebanyak enam trak FRU juga dapat dilihat di luar perkarangan kawasan kuil dan anggota FRU dilihat memantau perkembangan semasa dalam beberapa kumpulan.

Sinar Harian turut difahamkan pihak polis dan FRU telah berada di kawasan berkenaan sejak pukul 1.30 pagi bagi mencegah sebarang perkara tidak diingini berlaku ekoran insiden rusuhan di kuil sama, baru-baru ini.

Terdahulu, pada 26 dan 27 November lalu berlaku insiden rusuhan di kawasan kuil berkenaan berikutan pertikaian antara milikan tanah di antara pihak kuil dan pemaju One City Development Sdn Bhd.

Insiden berkenaan turut menyebabkan seorang anggota bomba yang bertugas cedera parah dipercayai dipukul perusuh.

Semalam, anggota bomba terbabit, Muhammad Adib Mohd Kassim dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malan di Institut Jantung Negara (IJN) setelah 20 hari menerima rawatan kritikal.