ALOR SETAR - Kerajaan perlu menapis kemasukan pendakwah ataupun ustaz-ustaz dari luar khususnya Indonesia kerana ia telah membakar sentimen umat Islam di sana dan bimbang menular ke negara ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, rusuhan dan kekacauan yang berlaku di Indonesia harus dijadikan pedoman dan video ceramah yang tular juga dibimbangi mempengaruhi rakyat di negara ini.
"Kita telah melihat sendiri ucapan pendakwah-pendakwah tertentu di Indonesia yang tular membakar semangat masyarakat Islam di sana.
"Kita bimbang perkara itu juga akan berjangkit kepada masyarakat Islam di Malaysia.
"Bukan kita nak melarang tapi harus diperketatkan supaya ada penapisan dan syarat tertentu yang harus diletakkan sebab kita tak mahu ada elemen-elemen yang boleh merosakkan hubungan masyarakat pelbagai kaum dalam negara kita," katanya ketika ditemui pada Iftar Ramadan 2019 di Masjid Al-Kauthar, dekat sini semalam.
Mahfuz berkata, pendakwah tersebut kini dikatakan telah melarikan diri ke sebuah negara Arab dan ucapannya juga dilihat bahaya kerana pada akhirnya boleh meledakkan keadaan kacau-bilau dalam negara ini.
Sejak Rabu lalu, rusuhan dan kekacauan yang berlaku di Jakarta, Indonesia menyebabkan kematian meningkat kepada lapan orang sementara lebih 700 pula cedera.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan mendedahkan jumlah baharu kematian dan kecederaan itu ketika melawat beberapa pusat kesihatan, selepas kekacauan semakin berkurangan.