MELAKA - Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyasarkan kutipan zakat fitrah kira-kira RM4.2 juta tahun ini, berbanding RM3.8 juta pada tahun lepas, kata Pengerusinya, Adly Zahari.
Adly, yang juga Ketua Menteri Melaka, berkata, ia berdasarkan kepada zakat fitrah di negeri ini yang ditetapkan dua kadar pada tahun ini iaitu RM7 dan RM14 berbanding RM6.70 tahun lepas.
Iklan
Iklan
"Terdapat peningkatan kutipan dan jika mengikut kepada trend pembayaran, kira-kira 15 peratus rakyat memilih untuk membayar pada kadar RM14.
"Kita berharap agar semua umat Islam yang layak melunaskan tanggungjawab rukun Islam ketiga ini agar ia kemudian dapat dikongsi bersama golongan penerima agihan zakat seperti asnaf, fakir dan mualaf," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Agensi Korporat di Ayer Keroh hari ini.
Pada majlis itu, 10 agensi korporat menyerahkan zakat berjumlah RM4.8 juta kepada Adly. – Bernama