JOHOR BAHRU - Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) sekali lagi merayu agar kerajaan dapat memberikan insentif atau 'duit raya' kepada 112,635 peneroka Felda seperti amalan dilakukan sejak tahun 2011.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pemberian duit raya itu sangat besar ertinya sebagai persiapan akhir menjelang Aidilfitri ketika ketidakstabilan harga komoditi dan kos sara hidup yang tinggi.
"Meskipun MPNF memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, namun mengambil kira jumlah keseluruhan peruntukan seperti tahun-tahun lalu, ia seharusnya bukan isu besar demi menjaga kepentingan peneroka yang memberi sumbangan besar kepada produktiviti negara.
"Sambil mengalu-alukan Pelan Pemulihan Felda seperti mana terkandung dalam Kertas Putih, proses pemulihan ini masih terlalu awal sedangkan keperluan duit raya amat mendesak," katanya di sini hari ini.
Mazlan berkata, perkara itu sama seperti bonus kakitangan awam yang sentiasa dinantikan menjelang hari raya.
Katanya, beliau menerima terlalu banyak respons daripada peneroka hingga generasi baharu Felda apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membayangkan tiada 'duit raya' diperuntukkan tahun ini.
"Justeru, saya merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusan ini.
"Saya akan menghantar surat rasmi kepada perdana menteri bagi mewakili 112,635 peneroka Felda agar duit raya ini diberikan seperti biasa selewat-lewatnya seminggu sebelum hari raya," katanya.
Selain itu, beliau juga merayu agar FGV Holdings Berhad mengambil langkah yang sama (kecuali tahun 2018) seperti amalan tahun sebelumnya.
Pada 10 Mac lalu, MPNF menggesa kerajaan mempertimbangkan agar masyarakat peneroka Felda diberikan duit raya sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.