TMJ kongsi video Mukhriz tidak bersalam dengan Sultan Johor

Iklan
Paparan skrin rakaman video menunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini berkongsi rakaman video menunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tidak bersalaman dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda mengulang ciap video disiarkan oleh Twitter Friends of Johor yang mengkritik dan menyifatkan Mukhriz sebagai sombong.

Iklan
Iklan

"Beza antara dua lelaki, @HRHJohorII (Tunku Ismail) bersalam dengan Tun M tetapi @MukhrizMahathir terlalu angkuh untuk bersalam dengan SOJ (Sultan Johor) di Istana Abu Bakar,” memetik ciapan tersebut.

Hubungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan istana Johor sebelum ini dilihat tegang selepas isu pemilihan Menteri Besar dan kritikan serta desakan berhubung tindakan Malaysia meratifikasi Statut Rom yang akhirnya membawa kepada Malaysia menarik diri.

Iklan

Tunku Ismail bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen berkaitan perkara tersebut secara langsung tetapi meletakkan lambang isyarat tangan seperti sedang menyembah.

Sebelum itu, Tunku Ismail terlebih dahulu berkongsi gambar baginda dan ayahandanya yang bersalaman dengan Dr Mahathir.

Iklan

Video berdurasi 14 saat itu telah ditonton lebih 78,000 kali dan telah diulang ciap sebanyak 1,073 pelayar setakat ini.

Pelbagai respons diberikan pelayar Twitter antaranya menyifatkan apa yang dilakukan oleh Mukhriz sebagai biadab dan sepatutnya menghormati istiadat penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Sultan Abu Bakar.

Tidak kurang juga ada yang melabel Mukhriz sebagai tidak profesional dan apa yang ditampilkan Menteri Besar Kedah itu sebagai tidak sesuai dengan situasi.

Sultan, kerabat dan pemimpin-pemimpin negara semalam hadir ke Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Sultan Abu Bakar.