JENGKA – Menjelang Hari Raya Aidilfitri, seluruh kakitangan kerajaan negeri mahu pun persekutuan bergembira dengan pengumuman duit raya daripada majikan masing-masing namun, 112,635 peneroka Felda di seluruh negara, berduka tahun ini tanpa duit raya.
Bagi peneroka Felda Jengka 13 di sini, Abdul Ghani Aziz berkata, pengumuman kerajaan menerusi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu ibarat satu tamparan hebat buat mereka kerana terpaksa menerima kesan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.
"Sudahlah hidup seperti kais pagi makan pagi, insentif saban tahun yang menjadi harapan besar untuk beli persiapan raya juga nampaknya tak diperoleh lagi.
"Harapan peneroka tanam sendiri untuk mendapatkan pembelaan bagaikan punah. Kerajaan perlu tahu yang pendapatan peneroka sangat teruk sekarang. Peneroka bukan kaya. Sudahlah harga buah sawit murah, peneroka tak ada duit,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Ghani berkata, pendapatannya juga tidak menentu sekitar RM1,000 ke bawah.
Apatah lagi kebanyakan buruh sudah pulang bercuti di kampung halaman masing-masing menyebabkan buah sawit juga tidak terkait berikutan peneroka berusia tidak mampu turun ke ladang.
"Saya harap kerajaan buatlah sesuatu. Janganlah jatuhkan imej Pakatan Harapan (PH) yang dulunya janji nak bela nasib rakyat. Peneroka tanam sendiri ni lagi teruk pendapatannya.
"Daripada tahun lepas hidup menderita. Sejak kemarau dulu buah tak ada sangat. Sebulan dapatlah dalam lima tan. Satu tan baru RM300 lebih belum tolak duit upah. Upah kait buah dan lori, lebih kurang RM90 upah untuk setan. Buah yang kita hantar kilang akan grading lagi. Dapatlah RM300 atau RM400,” katanya.
Ketua Peneroka Felda Jengka 25, Harun Darus, 55, berkata, pengumuman dibuat menteri baru-baru ini merupakan berita sedih lagi menyakitkan.
"Kakitangan kerajaan semua dapat tapi kita tak dapat. Ini tak patut berlaku di Felda. Peneroka mengharapkan duit hari raya walau pun jumlahnya tak banyak tapi memang kita harapkan untuk tampung sedikit keperluan.
"Mereka tak tahu kesusahan peneroka hanya tahu canang. Semoga kerajaan mendengar kesedihan peneroka. Ada yang dah tua.
"Peneroka di bawah Felda pun tak dapat. Sekarang mereka yang dibayar gaji menerusi akaun dah terima gaji, tapi di Felda Jengka 25 ada kira-kira 20 lebih orang yang dibayar menerusi pejabat secara tunai, tapi belum terima gaji sehingga hari ini. Duit belum sampai di pejabat.
"Alangkah sesaknya kami nak hidup dengan pendapatan yang sedikit tapi lewat pula. Kalau nak tahu duit gaji itulah nak bertahan sehingga hari raya nanti.
"Duit bonus setahun sekali, yang RM1,200 setahun tu pun tak ada dah. Gaji cukup makan. Bayar bil RM500, air, elektrik, Astro RM500. Kalau ada lembu jual lembu, ada kerbau jual kerbau,” katanya.