SERI MANJUNG - ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor memberi tempoh tiga hari kepada penulis sebuah laman web yang menuduh pegawai khas beliau mengawal semua projek dalam daerah ini memohon maaf.
Yahaya berkata, tempoh tiga hari yang diberikan itu bermula hari ini sehingga Ahad dan sekiranya tiada permohonan maaf serta menarik balik artikel dilakukan oleh laman web berkenaan, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.
"Walaupun di dalam artikel tersebut tidak menyebut nama saya tetapi secara jelasnya dia menggunakan perkataan bekas guru dan itu sudah cukup untuk merujuk kepada saya yang merupakan ADUN Pasir Panjang.
"Artikel berkenaan mengandungi fitnah yang tidak benar sama sekali bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dengan mengatakan pegawai khas ADUN dari parti Amanah daerah Manjung membolot semua projek kerajaan di daerah ini," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di pusat khidmatnya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, pihaknya telah menghubungi penulis berkenaan melalui email dan meminta pihaknya menarik semula semua tuduhan di dalam artikel berkenaan namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
"Permohonan maaf yang ingin mereka lakukan perlulah disiarkan di dalam laman web berkenaan serta di akhbar tempatan di dalam bentuk yang saya anggap munasabah.
"Sekiranya saya tidak menerima sebarang permohonan maaf dari penulis serta pengendali laman web berkenaan dalam tempoh ditetapkan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Tambahnya lagi, satu laporan polis telah dibuat pihaknya bersama pegawai khasnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Rabu selepas sehari artikel berkenaan disiarkan.
"Saya mendokong prinsip kebebasan bersuara, akan tetapi kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alat untuk penyebaran fitnah dan pembohongan yang berselindung di sebalik tabir siber," katanya.
Sebelum ini sebuah laman sesawang melaporkan artikel bertajuk Pegawai Khas ADUN Perak Besar Kepala, Bolot Projek yang disiarkan Isnin lalu.
Memetik artikel berkenaan, membayangkan seorang pegawai khas kepada ADUN yang merupakan bekas guru telah melakukan beberapa perkara seperti membolot semua projek kerajaan di Manjung, bertindak sebagai orang tengah untuk mana-mana projek.
Pegawai khas tersebut juga dilaporkan turut mengugut membuang kerja beberapa pegawai daerah yang membuat tender terbuka tanpa pengetahuan dia.