LUMUT - Bimbang ditahan pihak berkuasa, tiga lelaki disyaki tekong dan kru sebuah bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia sekitar Pulau Jarak di sini sanggup terjun ke laut bagi melarikan diri.
Bagaimanapun seorang daripada mereka berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan KM Marlin ketika melakukan rondaan Ops Sayang, petang semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, anggotanya berjaya menahan 74 PATI Indonesia berusia 11 bulan hingga 53 tahun kira-kira jam 1.50 petang pada jarak lebih kurang 23 batu nautika selatan Pulau Jarak.
"Semasa rondaan dilakukan di kawasan berkenaan, pihak APMM mengesan terdapat sebuah bot barter trade dalam keadaan mencurigakan lalu menghampiri bot tersebut.
"Ketika menghampiri bot berkenaan, tiga orang lelaki disyaki sebagai tekong dan kru bot terjun ke laut untuk melarikan diri dan anggota APMM segera melakukan pencarian," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.
Tambahnya, hanya seorang sahaja berjaya ditemui anggotanya manakala dua lagi gagal ditemui dan pihaknya akan menjalankan pencarian sehingga esok selain berharap dapat menemui dua lagi lelaki berkenaan.
Menurut Wan Mat, semasa pemeriksaan dijalankan oleh anggota APMM, kesemua 74 PATI tersebut sedang bersembunyi di dalam petak yang dijadikan kawasan persembunyian semasa pelayaran.
"Kesemua mereka terdiri daripada 57 lelaki dan 15 perempuan serta dua kanak-kanak dikatakan dalam perjalanan ke Tanjung Balai Asahan bagi pulang untuk beraya di kampung mereka.
"Pihak kami menjumpai sejumlah besar beg pakaian, pasport serta barang keperluan dipercayai untuk digunakan bagi sambutan Aidilfitri," katanya.
Wan Mat turut memaklumkan pihaknya percaya sindiket penyeludupan warga asing ini didalangi warga tempatan serta warga Indonesia yang sudah lama menetap di negeri ini.
"Mereka mengaut keuntungan yang besar dengan mengenakan bayaran dari RM1,000 hingga RM1,500 seorang tanpa memikirkan soal keselamatan memandangkan bot barter trade ini tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan.
"Saya nasihatkan kepada warga Indonesia yang ingin pulang ke negara asal gunakanlah laluan sah mengikut undang-undang agar mereka dapat pulang dengan selamat," katanya.