'Arwah tak pernah lupa beri duit belanja'

Iklan
Haniza (kiri) dan Ahmad Puad menunjukkan gambar Allahyarham Ahmad Farhan yang meninggal dalam kemalangan pada 20 Mei lalu.

CHANGLUN - Sepasang suami isteri di Kampung Lantrum, dekat sini reda dengan pemergian anak mereka yang terlibat dalam kemalangan maut di KM12.4 Lebuh Raya Utara Selatan semasa dalam perjalanan pulang dari tempat pada 20 Mei lalu.

Allahyarham Ahmad Farhan Ahmad Puad, 27, adalah tempat keluarga ini bergantung sejak bekerja di sebuah kilang di Bukit Kayu Hitam, lapan tahun lalu.

Iklan
Iklan

Ibunya, Haniza Shafie, 56, berkata, anak kelima dari enam beradik itu tidak pernah lupa untuk memberikan duit belanja kepada keluarga setiap bulan sebanyak RM600.

Menurutnya, dia dan suami, Ahmad Puad Abd Aziz, 67 sudah tidak mampu bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada anak-anak termasuk Allahyarham.

Iklan

"Kami reda dengan pemergian arwah. Arwah seorang anak yang baik dan selalu membantu memasak jika pulang awal kerana tidak mahu menyusahkan saya.

"Arwah sebelum ini juga pernah terlibat dengan kemalangan di kawasan yang hampir sama pada Januari 2015.

Iklan

"Dia alami kecederaan di kepala kanan sehingga tidak mampu buat kerja-kerja berat dan perlu membuat kerja-kerja pejabat sahaja," katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya.

Halimaton Saadiah (tiga dari kiri) menyerahkan faedah pengurusan mayat kepada Haniza dan Ahmad Puad.

Akibat kemalangan pertama itu, Allahyarham menerima pencen faedah hilang upaya kekal sejak 2016 sebanyak lebih RM200.

Haniza berkata, antara makanan kegemaran arwah yang suka dimasaknya adalah ayam goreng berempah dan soto pula antara juadah yang kerap diminta menjelang sambutan hari raya pada setiap tahun.

"Hasil faedah-faedah yang diterima dari Perkeso akan kami sumbangkan kepada tahfiz dan badan kebajikan termasuk mengupah haji buat Allahyarham," katanya.

Kemalangan tersebut mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turun menyampaikan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada Haniza dan Ahmad Puad.

Keluarga tersebut juga menerima pencen faedah orang tanggungan secara berkala kepada ibu bapa sepanjang hayat dan sehingga 21 tahun kepada adiknya, Fairul Ridzwan, 16 dengan jumlah kira-kira RM661.50 setiap bulan.

Faedah-faedah tersebut telah disampaikan oleh ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Saadiah Saad.

Halimaton Saadiah berkata, kes telah disahkan sebagai bencana kerja mengikut Seksyen 24 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 dan kemalangan yang berlaku berlaku semasa Allahyarham Farhan berulang alik ke tempat kerja.

"Waris telah ditemui pada 22 Mei dan setelah segala dokumen diterima serta diproses, kelulusan faedah pengurusan jenazah telah dibuat.

"Tahniah kepada Skuad Prihatin PERKESO Kedah kerana pantas mengendalikan kes ini dan usaha yang dilakukan adalah satu tugas yang murni," katanya.