KUALA TERENGGANU - Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna bagi 60 anak yatim dan miskin di daerah ini apabila dibawa membeli kelengkapan pakaian raya di Pasar Raya Mydin Mall di sini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, mereka yang terbabit berusia antara lima hingga 18 tahun yang dipilih dalam kalangan golongan kurang berkemampuan dan anak yatim oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing melibatkan empat DUN) di Parlimen ini.
Menurutnya, pihaknya memperuntukkan kira-kira RM100 untuk seorang penerima dan mereka diberi peluang memilih sendiri baju raya mengikut citarasa masing-masing.
"Diharap dengan program ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos anak-anak ini bagi persiapan Aidilfitri.
"Kita semua ketahui, kos perbelanjaan raya bukannya jumlah yang kecil yang akan ditanggung oleh ibu bapa setiap kali menjelang Aidilfitri, malah ia boleh mencecah ribuan ringgit terutamanya kepada yang mempunyai bilangan anak yang ramai.
"Jadi, saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ibu bapa terlibat dalam menyediakan sambutan raya," katanya ketika melayan penerima sumbangan di Mydin Mall, di sini.
Ahmad Amzad berkata, pihaknya akan cuba menjadikan program sebegini sebagai program tahunan di bawah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Terengganu.
"Mungkin tahun seterusnya akan ada penambahan nilai bantuan dan ditambahkan lagi bilangan penerima,” katanya.
Sementara itu, Faridah Ali, 53, ibu kepada salah seorang penerima, Nur Nadhirah Mat Jais, 14, dari Pasir Panjang, di sini, berkata, dia bersyukur kerana anak bongsu daripada lima beradik itu terpilih menerima sumbangan ini.
"Alhamdulilah, sedikit sebanyak kos perbelanjaan kami boleh jimat walaupun tak banyak. Untuk peruntukan baju dia (Nur Nadhirah) sudah lepas, ringan sedikit bebanan belanja kami.
"Perbelanjaan kami seramai lima beranak hanya bergantung harap dengan gaji suami, Mat Jais Ibrahim, 52, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah.
"Jadi, kami perlu berjimat dan biasanya setiap kali raya, kami hanya mampu sediakan mereka dua pasang baju raya setiap seorang sahaja," katanya.