SINGAPURA - Para pemimpin Singapura menzahirkan ucapan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
"Bagi pihak rakyat Singapura, kami menzahirkan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada Seri Paduka dan kerabat diraja Pahang," kata Presiden Singapura, Halimah Yacob dalam surat ucapan takziah yang dihantar kepada Bernama.
Halimah berkata Almarhum menjalani kehidupan yang istimewa.
Beliau berkata, Pahang telah menikmati pertumbuhan dan berkembang pesat semasa berada di bawah pemerintahan baginda selama lebih empat dekad.
Almarhum akan sentiasa dikenang kerana keperibadian baginda yang merendah diri dan sentiasa mendampingi dan menjaga kepentingan rakyat, kata beliau.
Presiden itu berkata sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7, Al Marhum menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia kerana sifat mesra dan prihatin dan menjadi pembimbing bagi pelaksanaan dasar-dasar yang membantu memperbaiki kehidupan semua rakyat Malaysia.
Almarhum juga menyumbang ke arah mengukuhkan hubungan Singapura-Malaysia, dan membantu membawa kedua-dua negara kita lebih rapat, katanya.
"Ingatan dan doa kami sentiasa bersama yang di-Pertuan Agong dan kerabat diraja dalam masa yang sukar ini," katanya.
Sultan Ahmad Shah mangkat pada usia 88 tahun dua hari lepas dan selamat dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, Pahang semalam.
Sementara itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata kemangkatan Almarhum merupakan satu kehilangan besar bagi Pahang dan Malaysia.
Hsien Loong berkata, semasa pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 dan Sultan Pahang ke-5, baginda terkenal dengan sikap merendah diri dan dedikasi.
Almarhum juga banyak memberi sokongan ke arah mengukuhkan hubungan Singapura-Malaysia, dan membantu meningkatkan kerjasama dua hala dan persefahaman bersama, kata Lee.
"Almarhum amat mengenali Encik Lee Kuan Yew dan bapa saya mengambil daya usaha untuk menghadap baginda semasa lawatan terakhirnya ke Malaysia pada 2009.
"Saya memperoleh penghormatan kerana berpeluang bertemu dengan baginda beberapa kali, kali pertama semasa majlis perkahwinan Tuanku pada 1986," kata Lee dalam surat ucapan takziahnya.
Menurut Hsien Loong, Almarhum akan dikenang kerana sikap kenegarawanan baginda dan usaha gigih untukunuk memperbaiki kesejahteraan rakyat.
"Kami dengan ini menzahirkan ucapan takziah kepada Yang di-Pertuan Agong dan kerabat diraja Pahang dalam saat-saat berdukacita ini," kata Hsien Loong. - Bernama