Kapten Selangor beri kemenangan kepada TFC

Iklan
Pemain Terengganu FC (TFC) Tchetche Hermann Kipre (depan, kanan) diasak oleh Selangor Taylor Francis Regan (tiga, kiri) pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto Bernama

JARINGAN sendiri kapten Selangor, K. Sarkunan pada minit akhir perlawanan membantu Terengganu FC (TFC) mencatatkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pemain tengah itu tertampan bola ke gawang sendiri ketika Terengganu FC melakukan serangan pada minit ke-90.

Iklan
Iklan

Keputusan itu membantu skuad Penyu menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan, sekali gus mencalarkan rekod Selangor yang tidak pernah tewas di laman lawan dalam kesemua enam aksi di tempat lawan pada musim ini.

Kedua-dua pasukan gagal menemui penyudah pada separuh masa pertama, di mana dua percubaan bahaya ayam tambatan Terengganu FC, Kipre Tchetche pada minit ke-45 dan 85 dinafikan oleh palang.

Iklan

Menerusi tiga mata tersebut, Terengganu FC berjaya melonjak ke kedudukan kelima selepas mengumpul 20 mata, manakala Selangor kekal di tempat keempat dengan 22 mata selepas 15 perlawanan.

Sementara itu, aksi Liga Premier menyaksikan pendahulu carta, UiTM FC gagal melebarkan jurang di persada liga apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-2 oleh pendatang baharu, Selangor United di Stadium UiTM, Shah Alam.

Iklan

Selangor United terlebih dahulu membuka jaringan dengan serangan balas pantas menerusi pemain import dari Montenegro, Danko Kovacevic pada minit ke-27, sebelum pemain import dari Brazil, Maycon Rogerio menyamakan kedudukan pada minit ke-47.

Selangor United mengesahkan tiga mata menerusi sepakan penalti Franklin Clovis pada minit ke-60, apabila pemain pertahanan UiTM FC menjatuhkan pemain import dari Korea Selatan, Hwang Sin Young di dalam kotak penalti.

Perlawanan itu juga dicemari dengan insiden kad merah apabila Muhammad Faizal Mohd Arif diarahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan, Muhammad Nasruddin Muhammad Tamrin selepas menerima kad kuning pada minit ke-85.

Dalam pada itu, jaringan tunggal pemain import dari Iran, Milad Zeneyedpour membantu UKM FC mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Bernama