SABAK BERNAM - Seorang penunggang motosikal maut selepas diseret sebuah kereta kira-kira 70 meter dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Selangor Panchang Bedena, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Mohamad Amrey Ismail, 16, dari Taman Cahaya Sungai Besar, meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas bersendirian dalam perjalanan dari arah Sungai Besar ke Sabak Bernam.
"Manakala pemandu kereta berusia 44 tahun itu pula dari arah Sungai Burong menuju ke Sungai Besar.
"Sejurus tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta disyaki memotong kenderaan di hadapannya dan berada di laluan bertentangan," katanya.
Beliau berkata, mangsa yang ketika itu berada di laluan terbabit tidak sempat mengelak dan dirempuh kereta berkenaan.
"Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia akibat diseret kereta terbabit," katanya.
Chee Khoon berkata, pemandu kereta yang beralamat di Taman Suria, Sungai Besar pula cedera ringan di tangan kanan.
"Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.