NEW DELHI - Perdana Menteri India, Narendra Modi dilaporkan bertemu sekutu serta pemimpin senior bagi merangka rancangan seterusnya selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang lalu.
Modi dikatakan meminta restu dan pendapat daripada pemimpin senior Parti Bharatiya Janata (BJP), L.K Advani sebelum menghadiri mesyuarat kabinet semalam.
Kejayaan Parti BJP pimpinan Modi yang memenangi 303 kerusi sekali gus melayakkan pemimpin berusia 67 tahun itu mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua.
Kemenangan Parti BJP menewaskan Parti Kongres Kebangsaan India (INC) pimpinan Rahul Ghandi yang hanya meraih 52 kerusi itu turut menamatkan penguasaan dinasti Nehru-Gandhi selama 72 tahun sejak India mencapai kemerdekaan pada 1947. . Modi kini harus menangani isu ekonomi dan pengangguran terutama dalam kalangan wanita di samping harus memikirkan kebajikan golongan minoriti termasuk 170 juta penduduk Islam yang bimbangkan masa depan mereka di negara itu.
Selain itu, sektor pertanian yang diancam kemarau, jumlah hutang yang tinggi dalam kalangan petani serta isu pencemaran alam sekitar turut menjadi antara isu yang harus diselesaikan oleh Modi.
Menurut kajian oleh Lancet Planetary Health, dalam senarai 30 bandar paling tercemar di dunia, 22 bandar terletak di India.
Ketika kempen pilihan raya lalu, Modi menangkis kritikan pembangkang berhubung semua isu berkenaan dengan memfokuskan kepada keselamatan negara selain mendakwa hanya dirinya mampu mempertahankan India.
Dalam pada itu, Champa Patel dari agensi pemikir Chatham House berkata, persoalan kini adakah Modi mampu menunaikan janji ekonominya dan menyelesaikan segala cabaran yang dihadapi rakyat India. - AFP