Perak sedia kaji, mansuh syarat FDI

Iklan
Mohammad Nizar pada sidang media, semalam.

IPOH - Kerajaan Perak akan kaji semula beberapa syarat yang dikenakan dalam pelaburan langsung asing (FDI) bagi menyuntik lebih banyak nilai pelaburan ke negeri ini.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kajian itu termasuk memansuhkan beberapa perkara yang tidak perlu serta mengurangkan bayaran dari kadar asal.

Menurutnya, langkah itu antara komitmen kerajaan negeri yang menyambut baik syor dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu negeri-negeri di Malaysia membuka ruang seluasnya menerima kehadiran pelabur asing.

"Untuk menggamit mereka, kena pastikan kita memberi banyak insentif, disamping insentif-insentif berbentuk kewangan, kita juga sedia membuka segala halangan yang ada dengan melakukan kajian semula terhadap beberapa syarat dikenakan sebelum ini.

"Perkara ini telahpun kita nyatakan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri, Rabu lalu dan dalam pembentangan Belanjawan 2019 Perak nanti, kerajaan negeri turut dijangka menawarkan beberapa insentif kepada pelabur asing," katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, insentif itu bagi memberi kelonggaran dan kebebasan kepada FDI dari

beberapa peraturan yang sebelum ini menyusahkan pelabur.

Misalannya, untuk mereka yang terlibat dalam industri pasir, jika sebelum ini dikenakan caj dari segi profesional, jawatan dan kenderaan, kemungkinan ada antara syarat itu dimansuhkan.

"Kita akui ini akan beri kesan kepada hasil pendapatan negeri, namun hanya dalam jangka masa pendek, kerana kesannya pelabur-pelabur ini akan bertapak lebih lama yang akhirnya memberi nilai manfaat lebih besar kepada ekonomi dan pendapatan negeri," katanya.

Mohammad Nizar berkata, pelaburan langsung asing juga membolehkan kerajaan negeri berkongsi teknologi moden dan kepakaran negara yang sedang membangun, khususnya dalam aktiviti perlombongan.

Katanya, seperti satu syarikat di China yang aktif dalam galian emas dan arang batu, kerajaan sedang mengkaji kaedah perlombongan mereka sama ada boleh diaplikasikan di negeri ini.

"Kita mahu syarikat yang ada kemampuan seperti ini datang dan bantu aktiviti galian di sini supaya kita peroleh kesempatan pada harga bijih timah cukup mahal ketika ini," katanya.