Tujuh amanat Raja Perlis sebagai panduan MAIPs

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin bersalaman dengan wakil-wakil agensi yang hadir pada program berkenaan, semalam.

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap tujuh amanat yang disampaikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dapat menjadi asas kepada pembentukan hala tuju dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 2021 hingga 2025 bersempena usia 100 tahun MAIPs 100 tahun hadapan.

Oleh itu, Tuanku Syed Faizuddin turut mencadangkan agar satu jawatankuasa ditubuhkan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan terhadap pelaksanaan titah amanat berkenaan supaya ia bukan hanya dijadikan satu laungan.

Iklan
Iklan

Sebaliknya, titah baginda, ia diterjemah dalam satu penghayatan dan manifestasi hasrat dan keinginan baginda sendiri bagi menyaksikan fahaman Islam yang suci ini benar-benar difahami dan dihayati sebaiknya oleh segenap lapisan masyarakat di negeri Perlis ini.

Pada masa yang sama juga, baginda berharap pihak MAIPs dapat mengenal pasti usaha-usaha untuk melibatkan lain-lain pihak seperti pemimpin masyarakat di semua peringkat, badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan dan komuniti-komuniti setempat untuk turut sama mematuhi tujuh amanat yang ditetapkan itu.

Iklan

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Bengkel 7 Amanat DYMM Tuanku Raja Perlis dan Iftar Jamaie Bersama Agensi-Agensi Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2019’ yang diadakan di Ants Hotel, di sini semalam.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Iklan

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Perlis, Azman Mohd Yusof, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Ir Datuk Dr Ts Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Operasi Kobe Precision Technology Sdn Bhd, Norzaman Othman.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menegaskan agar semua jabatan dan agensi bersama MAIPs hendaklah tanpa rasa berbelah bahagi sentiasa menjunjung titah amanat ini dan menjadikan isi kandungannya sebagai garis panduan’ dalam melaksanakan segala program dan aktiviti jabatan serta agensi masing-masing.

Untuk rekod, jika dihalusi dan juga diteliti, tujuh amanat ini merangkumi segenap urusan kehidupan rakyat dalam negeri ini bermula dari rakyat biasa sehinggalah kepada para pemimpin negeri.

Ia juga merupakan sifat keadilan Islam terhadap kehidupan termasuklah kepada orang Muslim dan yang bukan beragama Islam.