KOTA BHARU - Bagi mengelak kesesakan lalu lintas di musim perayaan, Majlis Perbandaran Kota Baharu- Bandar raya Islam (MPKB-BRI) membuat keputusan untuk menutup dua jalan utama di daerah ini bagi melancarkan lalu lintas.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, perkara tersebut telah diputuskan melalui Mesyuarat Jawatan Kuasa Undang-Undang, Penguatkuasaan dan Lalulintas yang bersidang pada 23 Mei lalu.
"Kita telah mengenal pasti lokasi yang sering berlaku kesesakan dan mengambil langkah awal dengan penutupan jalan dan lencongan yang akan dilakukan sepanjang musim perayaan.
"Jalan tersebut ialah persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Yahya Petra iaitu di depan Kota Seri Mutiara dan lampu isyarat Jalan Sultan Ibrahim di persimpangan ke Jalan Mahmood. Penutupan tersebut bermula 1 hingga 9 Jun ini.
"Manakala Jalan Parit Dalam, Jalan Pintu Pong dan Jalan Temenggung pula ditutup bermula 23 Mei hingga 5 Jun bermula dari jam 7 malam hingga 2 pagi,” katanya.
Menurut kenyataan yang sama, beliau berkata, setiap kali tiba musim perayaan pastinya bandar Kota Bharu menjadi tumpuan pengunjung dan perantau dengan pelbagai aktiviti sama ada waktu siang atau malam.
Malah, pihaknya menjangkakan aliran lalu lintas di bandar Kota Bharu lebih sesak dan padat dengan kenderaan memandangkan musim perayaan kali ini seiring dengan cuti persekolahan yang panjang.
"Justeru itu, warga kota dan pengguna jalan raya harus bijak mengatur laluan yang hendak digunakan. Selain itu semua pemandu diminta mematuhi segala peraturan lalu lintas seperti tidak menghalang laluan dengan parkir kenderaan sesuka hati agar aliran lalu lintas lebih lancar dan selamat,” katanya.