PASIR PUTEH - Penjaja ikan buntu kerana tidak mampu menyediakan kos berulang alik ke hospital dan rawatan anaknya yang menghidap hidrosefalus.
Pendapatan tidak menentu dan hidup menumpang rumah kakaknya yang dibina di atas tanah rizab kerajaan di Kampung Projek LTN Air Tawar, Semerak, menambah tekanan kepada keluarga ini.
Mohamad Saiful Isahak, 30, berkata, isterinya Nurkasuemawati Abdullah, 23, dahulunya bekerja untuk menampung pendapatan keluarga tetapi kini menjadi suri rumah sepenuh masa kerana terpaksa menjaga anak mereka, Nur Alina berusia setahun yang menghidap hidrosefalus.
"Dia lahir dalam keadaan normal tapi tidak lama selepas itu kepalanya membesar meyebabkan dia tak mampu meniarap dan merangkak, apatah lagi untuk belajar berjalan seperti bayi lain seusia dengannya.
"Ada masa dia ceria dan ada masa dari wajahnya kita dapat tahu dia menahan.kesakitan," katanya.
Menurutnya, walaupun Nur Alina menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak Mac lalu, ia tidak cukup untuk menampung kos perawatan.
"Saya menjaja ikan dengan motosikal di kawasan Kok Lanas empat atau tiga kali seminggu kerana di kawasan ini terlalu ramai penjaja," katanya.
Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menerusi Program Kepenggunaan dan Pengagihan Sumbangan Ramadan semalam.
Program kerjasama KPDNHEP, EZZ Maju Trading dan Kelab Pembaca Sinar Harian Pasir Puteh (Gu Sinar) itu bertumpu di Kampung Projek LTN Air Tawar, Kampung Pak Mayung dan Kampung Haji Wan Omar.
Tambahnya, dia kini menumpang bahagian belakang rumah kakaknya yang sempit dan tidak mempunyai bilik.
"Saya tak tahu bagaimana nak mohon bantuan rumah dari kerajaan kerana ayah saya sedia beri kebenaran untuk bina di atas tanah miliknya di kampung ini," katanya.