SETIAP pelakon tentunya mahu memperlihatkan sisi seni lakon mereka yang berbeza setiap kali muncul dengan karya terbaharu.
Seperti penyanyi dan pelakon, Izzue Islam, dia juga tidak mahu semata-mata hanya memegang watak antagonis seperti panas baran ataupun kaki pukul.
Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan, yang sedang meningkat naik namanya menerusi drama bersiri 30 Pesanan Suara yang sedang bersiaran di TV3, watak jahat memiliki kelebihan untuk dilakonkan.
Biarpun memegang watak jahat menerusi beberapa telefilem seperti Paku Di Tiang dan Kisah Hidup Jai tidak begitu kuat untuk membuatkan penonton membencinya, namun lakonan buat pertama kali dalam drama 30 Pesanan Suara akhirnya berjaya membekas di hati penggemar drama bersiri tersebut.
"Watak jahat ini seronok bila kita berlakon sebab bagi saya ia ibarat kertas putih yang bebas untuk diwarnakan.
"Walaupun nampak tidak menjerit seperti orang panas baran dan kaki pukul seperti yang pelakon lain bawa namun watak yang saya lakonkan itu juga boleh mengundang kemarahan dan kebencian penonton.
"Kebiasaannya watak jahat yang saya berani dan yakin bawa seperti menggunakan imej untuk kepentingan diri sendiri dengan menipu orang sahaja.
"Tetapi itu tidaklah bermakna saya akan terlalu memilih watak jahat supaya selesa cuma tengoklah saya mampu bawa, sesuai ke tidak dengan saya. Kalau tak jadi nanti hambar pula,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Dalam pada masa sama, pelakon tampan berusia 29 tahun itu tidak menolak seandainya diberikan watak gelap luar daripada kebiasaan.
"Tapi kalau pengarah dan penerbit sudah letak kepercayaan kepada diri saya untuk berlakon watak jahat sisi lain, saya tetap akan mencuba buat yang terbaik,” katanya.
Selain Izzue antara barisan pelakon di bawah arahan Mohd Fazli Yahya terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd itu terdiri daripada Shukri Yahaya, Hannah Delisha, Ain Edruce dan Hanna Aqeela.
Selain watak antagonis, Izzue juga mahu mencuba watak lebih mencabar seperti orang kurang upaya.
"Sebelum ini selalu bawa watak jahat, selepas ini mungkin saya nak cuba dapatkan watak orang kurang upaya seperti bisu pula.
"Mana tidaknya, kita tidak tahu dan merasai apa yang mereka rasa, jadi untuk menghidupkan karakter mereka itu pastinya sukar.
"Itu sahaja cara untuk mengukur sejauh mana kebolehan bakat berlakon saya,” jelasnya.
Lagu raya
Dalam perkembangan lain, Izzue yang ditemui pada majlis berbuka puasa Watie Collections Sdn Bhd di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor, memberitahu bakal mengeluarkan lagu raya dalam masa terdekat ini.
Menurutnya lagu raya perlu dipelbagaikan supaya banyak pilihan untuk pendengar nikmati sempena hari raya nanti.
"Lagu raya kena ada, kalau generasi sekarang macam saya tak buat untuk generasi masa datang, nanti mereka akan putar dan membesar dengan lagu-lagu lama sahaja.
"Nanti ada pula orang bertanya lagu raya tak ada yang baharu ke? Setidaknya ada variasi untuk lagu raya,” ujarnya yang tidak menafikan lagu raya lama tetap menjadi kegemarannya.
Lagu raya baharu Izzue bersama The Novic Gypsy itu berjudul, Pulang Ku Tak Sama Tanpa Mu ciptaan Adam Armin dan Joseph Khan.
Bersama dua komposer muda tersebut merupakan kerjasama kali kedua selepas lagu Kau. Berkongsi mengenai persiapan raya, Izzue memberitahu masih sama seperti tahun sudah mengambil konsep bersederhana sahaja.
"Setelah sibuk sepanjang tahun saya rasa hari raya adalah masa yang terbaik untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga, mak dan saudara mara di kampung.
"Sebelum ini sibuk bekerja sahaja, jadi tak sempat dan tak puas nak borak panjang,” ujarnya teruja hendak balik kampung di Kelantan pada hari raya kedua nanti.
Dalam perkembangan lain, Izzue kini sedang menjalani penggambaran telefilem raya bertajuk, Wakaf Dosa saluran TV3 terbitan Suhan Movies yang dijadual bersiaran pada hari raya ketiga.
Telefilem itu menampilkan pelakon Rosyam Noor, Sweet Qismina, dan Faradhiya.