IPOH - PKR Perak mengharapkan cadangan nama baharu untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri dipertimbangkan.
Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak hanya memberikan cadangan nama tetapi keputusan akhir dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.
Katanya, perbincangan juga dibuat bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan senarai nama sedang menunggu perkenan Sultan Perak.
"Kami di MPN Perak mengharapkan cadangan nama yang diberikan itu dipertimbangkan.
"Tetapi kita lebih memikirkan kestabilan kerajaan negeri dan tidak mahu terlalu mendesak," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Perdana PKR Perak di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, Chang Lih Kang; Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran dan beberapa pimpinan negeri dan Pusat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab desas-desus mengenai pertukaran Exco Kerajaan Perak yang mewakili PKR.
Setakat ini terdapat dua Exco Kerajaan Negeri mewakili PKR iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing.
Sementara itu, Farhash Wafa Salvador berkata, program Iftar Perdana yang diadakan merupakan medan untuk merapatkan hubungan antara pimpinan di peringkat negeri dan cabang.
Katanya, semua pimpinan di 24 cabang di Perak hadir ke majlis berkenaan.