ARIZONA - Seorang wanita kudung mencipta sejarah apabila memiliki lesen juruterbang pertama di Amerika Syarikat.
Jessica Cox, 36, dari Phoenix, dilahirkan orang kelainan upaya berjaya menerbangkan pesawat menggunakan kedua kakinya.
Bukan itu sahaja, Jessica melakukan rutin harian termasuk bermain piano, memandu kereta dan mendapat tali pinggang hitam dalam seni mempertahankan diri taekwondo juga menggunakan kakinya.
Menerusi laporan CNN, doktor menjelaskan, kedua belah tangannya tidak terbentuk ketika berada di dalam rahim ibunya dan ketika imbasan dilakukan, tiada sebarang masalah.
"Ibu saya hamil normal. Namun, mereka terkejut, ketika saya dilahirkan kedua-dua tangan saya tiada," katanya.
Cox memberitahu, mungkin kelahiran itu dikenali sebagai Amelia iaitu kecacatan jarang berlaku apabila tangan tidak terbentuk.
Bekas penuntut dari Universiti Arizona pada 2005, memberitahu, dia mahu menjadi insan normal dan melakukan apa sahaja yang diminati.
"Saya sering diberitahu, saya tidak dapat melakukan sesuatu kerana keadaan saya seperti ini tetapi saya berfikir sebaliknya.
"Saya mahu menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dan memberi galakan supaya berani berdepan ketakutan masing-masing. Ini kerana apa yang saya jalani kini, memberi kesan luar biasa kepada orang lain," katanya. - CNN