Kekalkan tradisi masyarakat Jawa

Iklan
Mohd Zawawi ketika menyantuni warga emas sempena Program Yuk Munjung di DUN Sungai Kandis, kelmarin.

KLANG – Amalan Munjung iaitu menghantar makanan kepada jiran tetangga beberapa hari sebelum sambutan lebaran antara tradisi masyarakat Jawa.

Menyedari keunikan tradisi itu, Pejabat ADUN Sungai Kandis berkongsi pengalaman menyediakan juadah istimewa Aidilfitri dan berkongsi bersama 30 keluarga di Kampung Jalan Kebun di sini.

Iklan
Iklan

ADUN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, dalam meniti perubahan masa dan gaya hidup banyak tradisi dan kebiasaan dalam masyarakat yang semakin dilupakan terutama bagi penduduk di kawasan bandar.

"Munjung yang diambil daripada perkataan mengunjung ini adalah amalan sedekah juadah Aidilfitri untuk jiran tetangga, saudara-mara serta sahabat handai.

Iklan

"Mungkin ada generasi muda tidak mengetahui dengan lebih jelas amalan ini.

"Jadi kita perlu menghidupkan salah satu budaya Jawa ini sebagai warisan bangsa kerana ia dapat mengeratkan hubungan.

Iklan

Katanya, kemeriahan penduduk bergotong-royong menyiapkan juadah istimewa sempena hari raya itu pasti akan dirasai mereka yang menyertai Yuk Munjung (Jom Mengunjung).

"Juadah seperti ketupat nasi, rendang serta sambal goreng Jawa disediakan secara rewang oleh beberapa penduduk sekitar kampung.

"Selalunya Yuk Munjung ini dibuat sehari sebelum 1 Syawal, jadi orang tua sudah ada makanan untuk dimakan pada hari raya dan tidak perlu bersusah payah untuk memasak.

"Namun, zaman sudah berubah dan kita awalkan kepada seminggu sebelum raya. Kalau yang ingin balik kampung, mereka boleh hantar kepada jiran masing-masing sebagai tanda penghargaan dan silaturahim,” katanya.

Beliau berkata, budaya itu masih menjadi amalan komuniti Jawa di kampung berkenaan dan apabila orang yang lebih muda memberikan makanan, mereka akan menyampaikan salam ibu bapa kepada penerima.

"Oleh itu, kita merancang untuk mengadakan program ini setiap tahun dan akan diperluaskan di kampung-kampung di DUN ini,” katanya.