LONDON -"Alhamdulillah, Ainul, Sufi dan Erwani selamat tiba di London,” kongsi Dr Amalina Che Bakri di laman Instagramnya, sebaik mengetahui keluarga adik Ainul Mardhiah selamat tiba di London semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak perubatan telah berjumpa dengan ibu bapa Ainul bagi berbincang tentang proses rawatan selanjutnya.
"Terima kasih kepada dua orang doktor yang menemani adik Ainul sepanjang perjalanan ke UK (United Kingdom).
"Pihak yang membantu untuk urusan logistik seperti @malaysiaairlines dan Duta Besar Malaysia di London,” katanya yang turut berkongsi gambarnya bersama kedua ibu bapa Ainul di laman Instagram tersebut.
Dr Amalina turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan kesejahteraan kesihatan adik Ainul Mardhiah.
"Terima kasih Malaysia. Sentiasa doakan kesejahteraan kesihatan adik Ainul dan perjalanannya ke sini (London) selamat,” jelasnya.
Bagaimanapun, Dr Amalina berpesan agar menghormati kerahsiaan keluarga tersebut sepanjang melalui saat sukar ini.
"Mari sama-sama doakan untuk bayi Ainul. Dan maaf kerana saya tidak dapat memberikan sebarang perkembangan lanjut mengenai rawatan Ainul, terima kasih #Pray4BabyAinul,” kongsinya.
Semalam, keluarga adik Ainul yang menghidap 'Germ Cell Tumor' selamat tiba di London setelah penerbangan bersama bapa dan ibunya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dan Nurul Erwani Zaidi, 24, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menaiki pesawat Malaysia Airlines.