SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengeluarkan waran tangkap terhadap dirinya.
Menurut peguamnya, Datuk Shaharudin Ali, pihaknya telah diarahkan untuk memfailkan permohonan bagi mencabar perkara itu dalam minggu ini bagi pihak Hasanah.
"Kami percaya perkara ini akan ditangguhkan untuk pertama kali di Mahkamah Tinggi.
"Isu utamanya adalah sama ada peringkat pengurusan kes dianggap sebagai 'perbicaraan' dan sama ada terdapat kuasa untuk mengeluarkan waran tangkap di peringkat pengurusan kes," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Shaharudin, pihaknya turut mempersoalkan sama ada pengeluaran waran tangkap itu dibenarkan di bawah peruntukan undang-undang walaupun wang jaminan yang besar telah dibayar oleh Hasanah.
"Harus diingat bahawa tarikh perbicaraan telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Februari tahun depan dan Hasanah sudah bersedia dan mahu menghadiri mahkamah serta melawan kes tersebut apabila perbicaraan bermula," katanya.
Pada 24 mei lalu, perintah waran tangkap telah dikenakan terhadap Hasanah kerana gagal hadir untuk pengurusan kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapinya.
Waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.
Terdahulu, Muhamad Iskandar memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah kerana beliau dan dua penjaminnya tidak hadir ke mahkamah pada hari tersebut.
Iskandar berkata, waran tangkap perlu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas kegagalannya hadir.
Bagaimanapun, peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah mengakui kesilapan pihaknya kerana gagal memaklumkan anak guamnya berhubung tarikh pengurusan kes itu.
Peguam itu turut memohon supaya mahkamah tidak mengeluarkan waran tangkap berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan bagi sebutan waran tangkap dan notis waran kepada kedua penjamin kes terbabit.
Pada 25 Oktober tahun lalu, Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.
Hasanah didakwa melakukan perbuatan itu antara 30 April dan 9 Mei tahun lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.