PONTIAN - Dua mayat terapung yang ditemui di Tanjung Laboh Batu Pahat dan Sungai Tampok, Benut pagi tadi disahkan Mohd Khir Ismail, 36 dan Mohd Yusni Yusof, 43.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, isteri mangsa telah membuat pengecaman mayat di Hospital Batu Pahat dan Hospital Pontian, tengah hari tadi.
"Mayat Mohd Khir telah disahkan oleh waris mangsa iaitu isterinya Siti Raihana di Hospital Batu Pahat.
"Manakala mayat Mohd Yusni telah disahkan oleh isterinya Rashidah Omar di Hospital Pontian,” katanya kepada Sinar Harian sebentar tadi.
Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak Khamis lalu bersama beberapa agensi seperti Maritim, Bomba, Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam ditamatkan kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Khamis lalu, kedua-dua mangsa dikhuatiri lemas selepas gagal dikesan.
Kedua-duanya dipercayai menuju ke Pulau Pisang untuk menjaring ikan dengan menaiki bot fiber.