Agong, kerabat Pahang berkabung 100 hari

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah mengaminkan doa sejurus selesai menunaikan Solat Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini. - FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat diraja Pahang akan berkabung selama 100 hari, berikutan kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Institut Jantung Negara pada Rabu lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata program-program yang telah dijadualkan oleh Istana Negara dalam bulan Ramadan dan Syawal di peringkat Persekutuan, akan diteruskan dengan beberapa pindaan bagi menghormati tempoh berkabung Yang di-Pertuan Agong.

Iklan
Iklan

"Istana Negara turut memaklumkan bahawa tarikh Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Santapan Diraja yang telah diperkenankan pada 30 dan 31 Julai ini adalah kekal dan akan turut diteruskan mengikut jadual,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat-kerabat diraja, para pembesar dan rakyat jelata yang telah memberi penghormatan terakhir kepada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Negara pada 22 Mei (Rabu) dan di Istana Sultan Abu Bakar dan Makam Diraja Pekan pada 23 Mei (Khamis).

Iklan

Almarhum Sultan Ahmad Shah, Sultan Pahang kelima, mangkat pada usia 88 tahun di Institut Jantung Negara di sini pada Rabu lepas dan dimakamkan di Makam Diraja Pekan, Pahang pada Khamis.

Almarhum yang diputerakan pada 24 Okt 1930 di Istana Mangga Tunggal, Pekan adalah ayahanda kepada Sultan Abdullah.

Iklan

Baginda pernah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh bermula 26 April 1979 hingga 25 April 1984 dan sebelum itu dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Sept 1975.