ALOR SETAR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melepaskan peluang berkunjung ke Kompleks Pekan Rabu untuk membeli songkok, capal, butang baju dan samping di kedai kegemaran beliau, Style Tun Songkok Malaysia di kompleks itu.
Dr Mahathir yang memandu sendiri diiringi pembantu khas beliau, meluangkan masa meninjau gerai menjual kuih tradisional sebelum mengunjungi kedai menjual songkok di tingkat bawah kompleks itu.
Setiap kali menjelang Aidilfitri songkok Style Tun pasti menjadi perhatian ramai yang ingin mendapatkan koleksi itu.
Peniaga, Sardi Dahar, 61, berkata, songkok itu istimewa kerana tertera nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selain memiliki ciri-ciri tersendiri, antaranya ringan, boleh dilipat, tidak kecut serta diperbuat daripada baldu berkualiti tinggi.
"Pada musim perayaan ini, sebanyak 200 hingga 250 unit songkok akan dijual berbanding 150 sahaja pada hari biasa. Harganya antara RM25 hingga RM120 seunit dan tetap mendapat sambutan terutama pembeli yang mengutamakan kualiti,” katanya selepas menerima kunjungan Dr Mahathir di sini hari ini.
Menurutnya, songkok ini ditambah baik dengan meletakkan tanda dagangan Style Tun Collection dan Prime Minister of Malaysia di bahagian dalam kiri dan kanan songkok.
"Dr Mahathir memberi kebenaran untuk melabel namanya pada songkok itu pada 2002 namun beliau mahu kekalkan kualiti songkok supaya memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya.
Sardi berkata, dia mula berkecimpung dalam pembuatan songkok sejak berusia 18 tahun dan mewarisi kemahiran membuat songkok dari arwah bapanya yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia.
"Saya pernah ditegur oleh pelanggan yang mahukan kelainan dan selepas beberapa kali percubaan saya tampil dengan reka bentuk yang turut menawan hati Dr Mahathir, malah menjadi pelanggan tetap sejak lebih 25 tahun lalu.