IPOH - Kertas siasatan terhadap penganjur dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid serta surau yang menganjur program berbaur politik seperti didakwa pemuda Amanah Perak sudah dibuka.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, siasatan akan dijalankan terhadap penganjur, pengerusi serta AJK masjid dan surau terlibat.
"Perkara ini sudah berkali saya ingatkan kepada pengerusi serta AJK masjid dan surau di negeri ini supaya tidak menganjurkan ceramah tanpa mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah.
"Pelanggaran ini dilakukan oleh penganjur, pengerusi serta AJK masjid dan surau tanpa mendapat kebenaran. Jadi kertas siasatan sudah dibuka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurut Mohd Yusop, tindakan pengerusi dan AJK masjid serta surau terlibat membenarkan penganjuran ceramah melibatkan parti politik sama seperti mengabaikan peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, menurutnya, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memantau aktiviti dijalankan di masjid dan surau di negeri ini termasuk yang dijadikan pentas permainan politik
"Terdapat lebih 600 masjid dan 2,000 surau di Perak.JAIPk sentiasa memberi peringatan Pengerusi serta AJK terlibat supaya memainkan peranan dalam melaporkan aktiviti berkait politik di masjid dan surau masing-masing.
"Mereka perlu merujuk kepada Pegawai Tadbir Agama Daerah sekiranya ada sebarang penganjuran ceramah yang ingin diadakan supaya tidak melanggar peraturan ditetapkan," katanya sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim supaya JAIPk bertindak lebih profesional memantau aktiviti di masjid dan surau.
Semalam Hasnul Zulkarnain dalam kenyataannya berkata, Pemuda Amanah Perak mengenal pasti sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti dijalankan di masjid dan surau di negeri ini oleh UMNO dan Pas.