KOTA BHARU - Walaupun pernah ditangkap kerana mengemis, namun seorang kanak-kanak warga Thailand mengaku tidak pernah serik untuk meminta sedekah di negeri ini.
Solehah Mat Ali, 12, berkata, dia ditahan oleh penguat kuasa sebelum Ramadan lalu kerana meminta sedekah di Masjid Muhammadi.
Anak kedua dari lima beradik ini berkata, dia terpaksa menjalankan aktiviti itu kerana mahu membeli baju raya untuk tiga adiknya yang berada di Thailand.
"Kalau tak mengemis di masjid, saya akan naik basikal sendirian ke bank sekitar Kota Bharu, manakala mak dan ayah minta sedekah di lokasi lain.
"Kebetulan masa ni cuti sekolah, saya akan duduk di tepi bank bermula jam 8 pagi hingga 11 malam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Solehah berkata, dia berani untuk meminta derma di sini kerana tidak pernah diganggu atau dimarahi penduduk setempat.
Katanya, demi keluarga, dia sanggup berbuka puasa di kaki lima dan hanya pulang ke rumah sewa di belakang Masjid Muhammadi menjelang tengah malam.
Jika tidak mengemis, Solehah berkata, dia berasa sedih kerana melihat keperitan ibunya untuk mendapatkan wang.
Malah katanya, dia sanggup berkorban demi melihat adik-beradiknya gembira menyambut lebaran dengan berbaju baharu.
Sementara itu, Sedi Mohd, 61, berkata, dia baru sahaja ditahan pihak penguat kuasa minggu lalu kerana meminta sedekah di Pasar Siti Khadijah.
Menurutnya, dia mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM30 sehari, bergantung kepada kedatangan pengunjung di pasar berkenaan.
"Saya mampu dapat duit lebih banyak kalau ada orang datang bayar zakat.
"Selain nak dapat duit secara mudah, saya terpaksa mengemis sebab tak ada pendapatan lain. Walaupun ditahan banyak kali, saya mungkin akan ulangi pekerjaan ini di masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, hasil pemantauan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Azman Mat Zain berkata, majoriti peminta sedekah di negeri ini berasal dari negara jiran.
Selain Thailand beliau berkata, ada juga pengemis warga Myanmar termasuk Rohingya.
"Saya menasihati penduduk supaya menderma kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan.
"Gunakan saluran yang betul dan sebolehnya elakkan daripada menderma kepada pengemis yang didalangi sindiket,” katanya pada sidang akhbar Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis di sekitar Kota Bharu hari ini.
Selain Pasar Siti Khadijah, operasi yang disertai oleh 40 kakitangan JKM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) turut tertumpu di kawasan awam seperti bank.
Azman berkata, seramai 15 pengemis berusia dua tahun sehingga 86 tahun, diselamatkan yang mana tiga merupakan penduduk tempatan dan selebihnya warga asing.
Menurutnya, seorang lelaki dan dua wanita itu akan dihantar ke rumah Seri Kenangan Seri Kemumin manakala warga asing diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia.
"Semasa operasi, mereka didapati memegang tabung dengan tujuan mahu meminta derma daripada orang ramai.
"Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan ditahan mengikut Akta Orang Papa (1997) Sekyen 321 (tahanan sebulan) atau Sekyen 324 (tahanan tiga tahun),” katanya.