KUALA LUMPUR - Seramai 10 wanita warganegara China yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) bersama tujuh pelanggan dan seorang penjaga premis ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah premis di ibu negara sekitar jam 1.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kesemua tangkapan berumur dari 24 tahun sehingga 35 tahun.
Menurutnya, semasa serbuan di buat, penjaga premis tersebut gagal mengemukakan lesen perniagaan pusat hiburan.
"Dalam operasi ini, polis telah melakukan ujian saringan air kencing ke atas 30 pelanggan premis tersebut termasuk seorang wanita, tujuh daripadanya positif dadah jenis ketamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fahmi berkata, semua tangkapan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Penjaga premis ditahan reman selama dua hari di bawah Seksyen 4((1)) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 dan seksyen 55B Akta Imigresin 1959/63.
"Manakala 10 wanita GRO warganegara China ditahan reman dibawah Seksyen 39 Peraturan Imigresen 1963.
"Dan pelanggan premis yang positif dadah reman selama empat hari dibawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Mohd Fahmi menambah, polis akan sentiasa membuat pemantauan kepada aspek keselamatan premis perniagaan, penyalahgunaan pekerja asing dan penglibatan pengusaha-pengusaha dalam kegiatan haram seperti penyalahgunaan dadah dan perkhidmatan seks.
"Untuk membanteras kegiatan ini, ianya juga memerlukan penguatkuasaan membabitkan pelbagai agensi dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini boleh menyalurkannya kepada polis dengan menghubungi talian 03-26002222 untuk bercakap dengan Asisten Superintendan Didi Fairuz Zainal Abidin dan Asisten Superintendan Ahmad Safry Abdullah Azizi,” katanya.