KUALA TERENGGANU - Seorang wanita pengsan selepas melihat rumah didiami bersama seorang anak perempuan dan empat cucunya terbakar di Kampung Sungai Rengas di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu hanya anak perempuannya, Rozila Rosezali, 31, bersama empat cucu berada di rumah manakala Timah Mat Zin, 59, berada di rumah saudara bersebelahan dengan rumahnya.
Timah dalam perjalanan balik ke rumah ketika kejadian dan terus rebah selepas melihat api yang sedang marak sebaik sahaja tiba di rumah itu sebelum dibawa ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ) menaiki ambulans.
Rawatan di hospital diperlukan ibunya yang turut menghidap penyakit lelah sejak muda kerana semua alat sedut lelah berada di dalam rumah.
Rozila berkata, dia sedang bersiap untuk ke kedai sebelum terhidu bau hangus dan ternampak api dari salah sebuah bilik sebelum bergegas menyelamatkan anak dan anak saudaranya.
"Api marak begitu cepat menyebabkan kami gagal selamatkan harta benda. Ketika itu saya hanya fikirkan nyawa dua anak dan dua anak saudara. Langsung tidak terlintas untuk selamatkan apa yang ada termasuk dokumen penting.
"Baju raya yang baru diambil semalam dari rumah tukang jahit juga hangus. Semua persiapan hari raya musnah dan sekarang kami tinggal sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di di sini.
Sementara itu, pegawai operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Abd Ghani Omar berkata, seramai 18 anggota bersama tiga jentera ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu.
"Rumah ini terbakar 90 peratus dan api sedang marak ketika kami tiba di tempat kejadian namun api dapat dikawal dalam tempoh 16 minit dan berjaya mengelak daripada merebak ke rumah berhampiran.
"Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan forensik bomba," katanya