Tak pasal-pasal pembantu perubatan HKL ditampar

Iklan
Status bergambar dimuat naik Dr Alzamani di Facebooknya berkaitan kejadian itu.

KUALA LUMPUR - Seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditampar seorang lelaki ketika cuba meleraikan kekecohan yang berlaku di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu semalam.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, pembantu perubatan itu yang mahu dikenali sebagai Umair, 29, ditampar lelaki yang mendakwanya cuba melengah-lengahkan untuk membawa seorang mangsa kemalangan jalan raya ke hospital.

Umair berkata, dia bersama pasukan memberi respons kes kemalangan di Taman Dato Senu, Sentul membabitkan seorang lelaki luka pada dahi dan kaki serta mengikut prosedur operasi standard untuk membantu merawat mangsa sebelum dibawa ke hospital.

Iklan

"Saya memberi rawatan primer kepada lelaki itu sebelum dibawa masuk ke dalam ambulans dan selepas berada dalam ambulans kami tidak terus ke hospital kerana saya perlu memberikan rawatan sekunder seperti memasukkan air ke badan mangsa kerana kehilangan banyak darah.

"Jadi saya menyuruh pemandu memberhentikan ambulans di tepi jalan kerana kedudukan ambulans berada di tengah simpang empat. Ketika itu datang seorang lelaki tidak dikenali mengetuk pintu belakang ambulans secara agresif dan memarahi kami supaya segera ke hospital,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Menurutnya, sebaik tiba di hospital, pesakit dibawa ke zon kuning bahagian kecemasan, namun tiba-tiba lelaki sama yang mengetuk pintu ambulans di lokasi kejadian datang dan membuat bising di kaunter kecemasan.

"Lelaki itu mempertikaikan tindakan saya yang tidak segera beredar dari lokasi kejadian sebaik pesakit dibawa naik ke ambulans. Kemudian, datang seorang lagi lelaki berusia 50-an membuat kecoh di situ yang turut mempertikaikan perkara sama.

"Kekecohan itu menyebabkan seorang waris pesakit lain hilang sabar dan timbul pula pertengkaran antara lelaki kedua membuat kecoh itu dengan waris pesakit itu. Saya cuba meleraikan keadaan dengan menarik lelaki berusia 50-an itu keluar sambil cuba menenangkan keadaan namun secara tiba-tiba dia menampar saya,” katanya.

Umair berkata, dia terkesan dengan kejadian itu kerana dia sudah memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa kemalangan namun dituduh sehingga dikasari sedemikian rupa.

"Saya tidak tahu apa hubungan lelaki yang menampar saya itu dengan mangsa. Namun saya percaya lelaki pertama yang membuat kecoh itu tidak dikenali mangsa.

"Kemungkinan ialah ejen insurans kerana rakan-rakan mangsa yang lain ada meminta doktor yang merawat supaya meminta lelaki itu beredar daripada terus berkomunikasi dengan mangsa,” katanya.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HKL, Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose yang memuat naik kejadian itu di laman Facebooknya.

Ekoran kejadian itu, Umair membuat laporan polis dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.