SEBERANG PERAI TENGAH - Dua beranak cedera apabila terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang selepas diragut seorang lelaki yang menaiki motosikal di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian berlaku pada jam 5 petang di Taman Sri Rambai, Bukit Tengah di sini.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Rusmawati sedang menunggang motosikal bersama anak perempuan tirinya berusia 6 tahun.
"Insiden itu dilaporkan oleh suami mangsa, apabila mengetahui kejadian yang menimpa isteri dan anaknya itu melalui aplikasi WeChat yang dihantar rakannya.
"Mengikut keterangan suami mangsa, isterinya dikejar seorang yang menaiki motosikal jenis Yahama 125Z berwarna biru," katanya ketika dihubungi di sini.
Nik Ros Azhan berkata, suspek didakwa menarik 'porch beg' digalas wanita itu hingga menyebabkan motosikal ditunggang terbabas lalu termasuk dalam longkang berhampiran.
"Mangsa yang juga warga Indonesia masih dalam keadaan trauma dan kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Bukit Mertajam.
"Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka manakala anak tirinya cedera di kepala akibat terjatuh ke dalam longkang," katanya.
Menurutnya, mangsa tidak sempat melihat nombor plat motosikal suspek yang kemudian melarikan diri.
"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 kerana samun sehingga mendatangkan kecederaan," katanya.