SEREMBAN - Masyarakat Islam di Negeri Sembilan diharap dapat bersama memeriahkan program World #QuranHour akan bergema seluruh negara dan dunia secara serentak pada 30 Mei ini.
Pengerusi Rumah Ngaji negeri, Gharizah Hashim berkata, program yang bakal berlangsung di Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM serta lebih 100 lokasi hotspot termasuk Masjid Negeri dan beberapa masjid di seluruh daerah ini.
"Pada tahun ini, Surah Al-Kahfi, surah ke 18 dipilih sebagai panduan menghadapi zaman yang penuh cabaran, untuk membentuk ummah yang berbudi dan penyayang dalam menangani serta melahirkan solusi terhadap empat cabaran sejagat iaitu keyakinan, harta, ilmu pengetahuan dan kekuasaan," katanya.
Menurutnya, Pensyarah Fakulti Al-Quran dan Sunnah USIM, Dr Anuar Hasin akan bertadabbur Surah Al-Kahfi, manakala Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Asean 2016, Ustaz Husaini Makmur akan mengalunkan bacaan al-Quran kepada semua peserta yang hadir ke Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM.
"Segala persiapan untuk program ini sudah hampir selesai dan kita bersedia menerima lebih ramai pengunjung untuk datang ke kompleks Islam USIM sempena World #QuranHour pada 25 Ramadan ini.
"Sertailah kami bersama dalam usaha mengimarah serta menyemarakkan gelombang berinteraksi dengan al-Quran selama satu jam ini, baca, faham, amal, dalam membawa #MisiAlKahfi dan #AlKahfChallenge,” katanya.
Gharizah berkata, setakat tempoh ini pasukannya mendapat sokongan penuh daripada semua agensi kerajaan termasuk polis, bomba, tentera dan semua kakitangan awam negeri ini untuk menganjurkan program itu.
Gerakan #QuranHOur bermula pada tahun 2015 di bawah Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu adalah program satu jam bersama al-Quran sebagai sebuah permulaan untuk melakukan perubahan minda melalui Quran, Tadabbur, Tazakkur (QTT), mengambil nilai-nilai dari al-Quran sehingga lahir akhlak sebagai Muslim sejati.