BATU GAJAH - Enam individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun cedera parah selepas terlibat dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Kilometer 13.5, Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam itu melibatkan sebuah lori, kereta jenis Toyota Camry dan Proton Wira serta sebuah motosikal.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Camry yang dinaiki empat individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dalam perjalanan dari Batu Gajah menuju ke Ipoh.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut melanggar bahagian kiri motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang lelaki berusia 40 tahun ketika dia ingin masuk simpang ke kanan.
"Akibatnya, kereta tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar belakang lori sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Proton Wira yang dinaiki empat sekeluarga,” katanya.
Menurutnya, keluarga terbabit yang berusia 35 hingga 5 tahun mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan.
"Pemandu Toyota Camry berusia 26 tahun itu pula terseliuh di bahagian peha, remaja perempuan terbabit tidak sedarkan diri manakala penumpang belakang cedera ringan.
"Penunggang motosikal yang terlibat turut mengalami patah tangan kiri. Kesemua mereka dirujuk ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, tiada tangkapan dilakukan namun siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.