Tawar GRO jadi teman berkaraoke

Iklan
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis karaoke di Sungai Way, Kuala Lumpur, malam tadi.

PETALING JAYA - Sebuah pusat karaoke dekat Sungai Way, di sini, dipercayai menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dengan bayaran RM120 sebagai peneman berhibur.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan sepasukan polis dari Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, menerusi Ops Noda, tengah malam tadi.

Iklan
Iklan

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Syukor berkata, operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu berjaya menahan seramai 22 wanita warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

"Semakan mendapati 20 wanita terbabit adalah warga Vietnam, manakala dua lagi membabitkan warga Laos.

Iklan

"Turut ditahan adalah tujuh pekerja premis termasuk empat warga Bangladesh," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Azmi berkata, berdasarkan risikan, premis terletak di tingkat tiga dengan mempunyai 22 bilik itu telah beroperasi sejak kira-kira setahun lalu dengan menawarkan pakej kepada pelanggan sebagai teman berhibur dengan kadar bayaran RM120 untuk tiga jam.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan mendapati premis berkenaan pernah beberapa kali diserbu sebelum ini termasuk oleh Jabatan Imigresen namun, dilihat masih degil dengan menawarkan khidmat GRO warga asing.

"Semua wanita warga asing yang ditahan itu didapati melanggar syarat permit dan masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial manakala, empat pekerja warga Bangladesh yang ditahan itu pula gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Tambahnya, seramai 25 pengunjung pusat karaoke terbabit juga telah diperiksa dan hasilnya salah seorang pengunjung lelaki tempatan dikesan positif dadah.

Beliau berkata, semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Way untuk tindakan lanjut.