KUANTAN - Dua individu termasuk seorang pelajar berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian selepas tertipu dalam urusan jual beli barangan tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial.
Dalam kes berasingan itu, kedua-dua mangsa masing-masing kerugian RM4,247 dan RM4,050 selepas terpedaya dengan iklan jual beli barang kemas dan telefon bimbit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama melibatkan mangsa wanita berusia 30 tahun.
Menurutnya, mangsa yang bertugas sebagai pengasuh tertarik dengan iklan jual beli emas selepas melayari Facebook atas nama seorang wanita sebelum berurusan dengan wanita itu melalui telefon menggunakan nombor yang tertera pada iklan tersebut, 12 Februari lalu.
"Tertarik dengan harga ditawarkan, mangsa bersetuju untuk membeli dua utas rantai tangan emas, seutas rantai leher emas, loket dan sebentuk cincin emas pada harga RM4,247.
"Pada hari yang sama, mangsa membuat bayaran dengan memindahkan wang ke akaun yang diberikan atas nama seorang lelaki melalui dua transaksi pembayaran,” katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas bayaran diselesaikan, suspek memaklumkan mangsa perlu menunggu semua barangan tersebut sampai daripada pemilik kedai emas namun sehingga kini barang kemas yang dijanjikan tidak diserahkan.
"Mangsa rasa tertipu lalu datang ke balai buat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, pelajar berusia 21 tahun rugi RM4,050 selepas terbeli telefon bimbit jenama iphone xs tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Instagram.
Mohd Wazir berkata, mangsa tertarik dengan iklan itu dan bersetuju untuk membeli telefon tersebut yang ditawarkan pada harga RM1,850 sebelum berurusan dengan penjual (suspek) 24 Mei lalu.
"Selepas berbincang suspek bersetuju menjual telefon tersebut pada harga RM1,800 termasuk kos penghantaran.
"Mangsa membuat bayaran seperti diminta semalam melalui akaun bank atas nama seorang indivdu bagaimanapun suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan RM2,200 bagi tujuan mengaktifkan id telefon tersebut dan wang tersebut akan dipulangkan segera selepas id itu diaktifkan dalam tempoh 10 minit,” katanya.
Beliau berkata, mangsa membuat bayaran tambahan itu bagaimanapun dia mula rasa tertipu apabila suspek memberitahu proses tersebut tidak dapat dilakukan dan meminta membuat bayaran tambahan lagi.
"Mangsa kemudinnya tampil membuat laporan polis selepas rasa tertipu dan mengalami kerugian,” katanya.
Mohd Wazir berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kita juga sedang mengesan dan mengenal pasti tiga individu termasuk dua wanita terdiri pemilik nombor telefon dan akaun bank yang digunakan dalam dua kes ini,” katanya.