Tiga beradik jadi anak angkat PERKESO Terengganu

Iklan
Farihah (kiri) menyampaikan bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan pencen penakat yang diwakili Nurul Umiraf (kanan) anak sulung pasangan yang maut dalam nahas di Setiu.

KUALA TERENGGANU - Tiga anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Setiu, Sabtu lalu menjadi anak angkat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu.

Tiga beradik itu ialah Nurul Nadirah Anuar, 14 Muhammad Adib Anuar, 18 dan Nurul Umiraf Anuar, 19.

Iklan
Iklan

Ketiga-tiga mereka adalah anak kepada Anuar Said, 59 dan Che Khasliza Che Hussin, 53 yang maut dalam kejadian kemalangan yang berlaku jam 9.20 pagi itu.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, ketiga-tiga beradik itu kini menjadi anak angkat kedua PERKESO Terengganu selepas anak angkat pertama, Muhammad Khairul Haziq, 5, yang terlibat dalam kejadian sama yang meragut nyawa seluruh ahli keluarganya.

Iklan

"Tiga waris termasuk seorang mangsa kemalangan (Nurul Nadirah) layak mendapat pencen penakat sebanyak RM900 sehingga usia mereka 21 tahun.

"Ketiga-tiga mereka juga layak menjadi anak angkat PERKESO Terengganu," katanya ketika menyampaikan bayaran dan melawat mangsa kemalangan (Nurul Nadirah) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Iklan

Nurul Nadirah patah kedua belah paha dan cedera di muka serta masih dirawat di hospital itu.

Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Nurul Umiraf, 19, berkata, dia bersyukur kerana menerima sumbangan itu kerana ia dapat membantu mengurangkan bebanan kewangan setelah kehilangan tempat bergantung.

"Saya bersyukur atas sumbangan ini kerana ia membantu meringankan bebanan kewangan keluarga setelah kehilangan kedua ibu bapa kami," katanya.

Kejadian kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus itu meragut nyawa dua pasangan suami isteri termasuk seorang wanita yang sedang hamil lima bulan.

Nahas itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Wira Aeroback dan Peugeot.

Turut terkorban ialah pemandu dan penumpang, iaitu Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, dan isterinya, Siti Nur Shahila Asla, 26, yang hamil anak sulung mereka.

Keempat-empat mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan.