DOHA - Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad al Thani telah menerima jemputan daripada pemerintah Arab Saudi, Raja Salman untuk menghadiri sidang kemuncak tergempar Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Khamis ini.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al Thani memaklumkan jemputan itu diterima ketika beliau bertemu dengan Setiausaha Agung GCC, Abdullatif Rashid al Zayani di Doha semalam.
Iklan
Iklan
Pada 2017, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar dan turut mengenakan sekatan darat, laut dan udara ke atas negara Teluk terbabit.
Langkah itu dibuat selepas kuartet tersebut mendakwa Doha menyokong keganasan dan turut mengharamkan gerakan Ikhwanul Muslimin.
Qatar bagaimanapun menolak tuduhan itu yang didakwa tidak berasas.
Awal bulan lalu, Raja Salman telah mengumumkan dua sidang kemuncak di Makkah pada akhir bulan ini untuk membincangkan isu 'pencerobohan dan kesannya' ke atas rantau terbabit.
Pengumuman itu dibuat susulan insiden serangan dron ke atas stesen paip minyak di Riyadh dan empat kapal termasuk dua milik Saudi di luar pantai UAE. - Agensi