Pekerja pasar raya maut nahas tiga kenderaan

Iklan
Keadaan kereta mangsa yang remuk dalam kejadian itu.
KUANTAN - Seorang pekerja pasar raya maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan di Kilometer 132.5, Jalan Kuantan- Segamat, Rompin, petang semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu, Sulaiha Mohd Rashid, 29 dari Felda Keratong 8, Muadzam Shah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, dua pemandu pacuan empat roda, Mohd Nor Hisham Mat Usen, 37 dari Felda Chini 3, Pekan, tidak cedera manakala Tan Chan Seng, 59 dari Segamat, mengadu sakit dada.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan menghala ke Kuantan.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Landcruiser dipandu Tan.

"Akibat pertembungan itu, kereta mangsa melambung masuk ke laluan asal sebelum dilanggar kenderaan jenis Isuzu dipandu Mohd Nor Hisham dari arah belakang,” katanya.

Azly berkata, mangsa yang parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat

"Manakala Tan yang mengadu sakit dada dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan.

"Kemalangan meragut nyawa pemandu ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.